
Gombak, 30 Jun 2025 – Sekolah Rendah Setiabudi terus mengukuhkan reputasinya sebagai institusi pendidikan rendah Islamik yang melahirkan pelajar cemerlang bukan sahaja dalam akademik, tetapi juga dalam bidang kokurikulum. Terbaharu, beberapa orang murid sekolah tersebut telah mengharumkan nama sekolah dengan pencapaian membanggakan dalam tiga kejohanan taekwondo peringkat kebangsaan dan terbuka yang berlangsung sepanjang April hingga Jun 2025.
Majlis penyampaian hadiah bagi meraikan kejayaan ini telah diadakan di sekolah pada 30 Jun 2025, sebagai tanda penghargaan terhadap usaha, disiplin dan semangat kesukanan para pelajar yang terlibat.
Dalam 2nd Victory Open Taekwondo Championship 2025 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, Aisyah Daniyya binti Imros dari kelas 4 Arif berjaya membawa pulang pingat gangsa selepas menunjukkan prestasi yang mengagumkan sepanjang kejohanan berlangsung dari 30 Mei hingga 1 Jun lalu.
Seterusnya, Sekolah Rendah Setiabudi turut mencatatkan pencapaian luar biasa dalam Kejohanan Taekwondo Remaja Kebangsaan MKTA anjuran DBKL yang berlangsung dari 9 hingga 11 Mei di Menara PT 80 DBKL. Dalam kejohanan ini, Almys Ariella binti Muhammad Syamsul Azwan, murid Tahun 6 Cerdik, telah berjaya merangkul pingat emas dalam kategori sparring. Rakan sepasukannya, Aisyah Daniyya, turut menyerlah apabila menggondol pingat emas dalam kategori poomsae. Kejayaan tersebut turut disertai oleh Zeroun Azzamy Akbar Megapita dari kelas 4 Amanah yang meraih pingat perak bagi kategori poomsae, serta Amiel Adly bin Muhammad Syamsul Azwan dari kelas yang sama yang memenangi gangsa dalam kategori sparring.
Dalam kejohanan peringkat kebangsaan yang lain, MILO National Junior Taekwondo Championship 2025 yang berlangsung di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan dari 11 hingga 13 April, dua adik-beradik, Ariqa dan Aariz Mohamad Syamsul Kamar tampil cemerlang. Ariqa berjaya meraih satu pingat emas dan satu perak dalam kategori poomsae, manakala adiknya, Aariz, menyumbang satu lagi pingat emas buat sekolah.
Pihak sekolah menyampaikan setinggi-tinggi tahniah kepada semua murid yang terlibat dan menzahirkan rasa bangga atas semangat juang serta dedikasi yang ditunjukkan. Menurut kenyataan rasmi, pencapaian ini bukan sahaja membanggakan sekolah, malah selari dengan aspirasi Sekolah Rendah Setiabudi untuk melahirkan pelajar seimbang dari aspek akademik, sahsiah dan fizikal — sejajar dengan visi institusi dalam membentuk dan membimbing generasi muda sebagai “Future Khalifah.”
Sumber – Sekolah Rendah Setiabudi