
Tarikh penting untuk umat Islam di Malaysia: Jumaat, 6 Jun 2025 bersamaan 9 Zulhijjah 1446H adalah Hari Arafah – satu hari yang sangat mulia dalam kalendar Islam.
Hari Arafah bukan sahaja dikenali sebagai hari wukuf bagi jemaah haji di Padang Arafah, malah ia juga merupakan hari yang penuh keberkatan bagi umat Islam seluruh dunia, termasuk yang tidak menunaikan haji.
Doa Terbaik di Hari Arafah
Rasulullah SAW bersabda:
“Sebaik-baik doa adalah doa di hari Arafah, dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku adalah:
لَا إِلَـٰهَ إِلَّا ٱللَّٰهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ ٱلْمُلْكُ وَلَهُ ٱلْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ”
(Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah SWT yang satu saja, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Mampu atas segala sesuatu). – Hadis Riwayat Tirmizi (3585)
Doa dan zikir ini adalah antara amalan terbaik yang boleh dilakukan pada Hari Arafah. Ia bukan hanya warisan Rasulullah SAW, tetapi juga para nabi sebelumnya.
Puasa Sunat Arafah
Bagi mereka yang tidak menunaikan haji, puasa sunat Arafah sangat digalakkan. Ia merupakan peluang untuk menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang – seperti yang dijelaskan dalam hadis sahih.
Jangan lepaskan kelebihan Hari Arafah ini. Perbanyakkan doa, zikir, dan amalan soleh. Semoga Allah menerima segala amal kita.