IIUM Holdings Sdn Bhd

Akademi PKNS rancang buka sekolah dan prasekolah bersama IIUM Holdings

Akademi PKNS rancang buka sekolah prasekolah bersama IIUM Holdings
Datuk Mahmud Abbas (tiga dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, bertukar dokumen MoU bersama Dato’ Ahmad Nadzarudin, Ketua Pegawai Eksekutif IIUM Holdings, dalam satu majlis di Shah Alam, hari ini -NSTP/NUR AMIRA MOHD HEDZER

SHAH ALAM: Akademi PKNS, anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama rakan strategik, IIUM Holdings Sdn Bhd sebagai langkah mengukuhkan sinergi dalam bidang pendidikan dan keilmuan.

Pemeteraian MoU ini bertujuan memperkukuhkan kerjasama strategik antara Akademi PKNS dan IIUM Holdings dalam bidang pembangunan akademik ke arah pembangunan modal insan melalui penubuhan sekolah serta prasekolah.

Pengurus Besar PKNS, Mohd Raihan Mohd Tahir, berkata inisiatif ini bertujuan mengembangkan peranan dan fungsi Akademi PKNS dengan menceburi bidang pendidikan menerusi pembukaan prasekolah di kediaman serta pusat perniagaan dalam kawasan atau pembangunan PKNS.

“Inisiatif ini sesuai dengan perniagaan teras kumpulan IIUM Holdings yang menawarkan perkhidmatan pendidikan dalam semua peringkat dari tadika hingga pendidikan tinggi.

“Disebabkan PKNS mempunyai banyak tapak projek yang sedang dibangunkan, Akademi PKNS melihat perkara ini sebagai peluang yang baik untuk menjalankan perniagaan pusat pendidikan di kawasan seperti Cyberjaya, Kota Puteri, Antara Gapi dan lain-lain.

“Antara idea kerjasama yang boleh dilaksanakan dengan segera adalah dengan membuka cawangan baharu IIUM Educare di bawah bangunan Akademi PKNS memandangkan kapasiti pelajar sedia ada sekarang mencapai had di sekolah semasa, dan permintaan yang tinggi juga diterima untuk memasuki sekolah di bawah IIUM Schools,” katanya selepas majlis menandatangani MoU itu di sini, hari ini.

MoU itu disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah PKNS, Idris Ishak dan Mohd Raihan, manakala IIUM Holdings diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Nadzarudin Abdul Razak dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Zahari Salleh.

Majlis disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas dan Pengerusi IIUM Holdings, Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman.

Mohd Raihan berkata, Akademi PKNS berharap pembangunan modal insan yang ingin dibangunkan akan membuka peluang lebih besar untuk menceburi bidang pendidikan, sekali gus memperluaskan peranannya dalam mendidik generasi akan datang dan menyokong pembangunan masyarakat di kawasan pembangunan PKNS.

Katanya, sebagai Pusat Kecemerlangan Kepimpinan PKNS, Akademi PKNS yang ditubuhkan pada April 2010 bermatlamat menyediakan latihan berkualiti, perundingan dan program pendidikan kepada kakitangan PKNS, anak syarikat, agensi kerajaan, syarikat korporat, usahawan serta orang ramai.

“Akademi PKNS percaya kepada pembangunan individu secara keseluruhan dan berusaha ke arah memupuk pemimpin dengan wawasan global, awam yang beretika dan bermoral tinggi serta dedikasi.

“Akademi PKNS mempunyai kumpulan perunding bersekutu, jurulatih dan pakar industri serantau yang sangat baik untuk menyediakan pelbagai kepakaran serta perkhidmatan perundingan dan latihan pengurusan dalam pelbagai bidang perniagaan,” katanya.


Sumber: Berita Harian

Share this

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top