WP Kuala Lumpur, 29 Mei 2024 – Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JASWPKL) telah turut serta menjayakan Program Kesedaran Alam Sekitar bersempena dengan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2024 Peringkat Kolej Islam Antarabangsa, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Puan Zuraini binti Ahmad Tajudin, Pengarah JASWPKL dan diiringi oleh Tuan Shaik Faridhudheen Anverdeen, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kolej Islam Antarabangsa, Tuan Hafiz Ahmed Patwari, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Akademik dan Puan Arlina Rohaizey binti Mohamad Amdan, Pengurus Pusat Bertauliah dan pensyarah-pensyarah Kolej Islam Antarabangsa.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama TM Enviro Industries Sdn. Bhd. dan Secret Recipe Sdn. Bhd. ini telah dihadiri oleh 200 orang pelajar kolej, pensyarah dan juga kakitangan kolej. Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan antaranya adalah sesi ceramah mengenai Mekanisma Pengurusan E-Waste, Program Pengumpulan E-Waste, pameran dan tayangan video interaktif melalui alat Realiti Maya (Virtual Reality) serta menguji pengetahuan asas peserta mengenai e-waste melalui permainan interaktif dan kuiz.
Selain itu, JASWPKL turut juga menyediakan kemudahan pendaftaran ahli Rakan Alam Sekitar (RAS) secara atas talian. Terima kasih dan syabas diucapkan kepada Kolej Islam Antarabangsa di atas kejayaan dan komitmen dalam menganjurkan program seperti ini. Diharapkan program ini dapat memberi pengalaman dan pendedahan yang berguna terutamanya kepada golongan belia mengenai kepentingan pengurusan e-waste terhadap keseimbangan alam sekitar kita.