Sejarah telah melakarkan kejayaan pelajar-pelajar usrah Junior Apprentice Kolej Islam Antarabangsa apabila telah berjaya menyalurkan sumbangan sebanyak RM7,556.15 kepada Tabung Bantuan Kecemasan Palestin, di bawah kelolaan Muslim Care Malaysia Society.
Kursus Usrah Junior Apprentice merupakan salah satu kursus yang diwajibkan kepada pelajar diploma Kolej Islam Antarabangsa. Di dalam kursus ini pelajar didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran sebagai seorang usahawan melalui aktiviti Jumbo Sales. Pelajar-pelajar ini ditugaskan untuk membuat jualan selama dua (2) hari dan hasil keuntungan akan disalurkan kepada mana-mana badan atau pertubuhan Kebajikan.
Selain aktiviti Jumbo Sales, program usahasama dengan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan telah memberi peluang kepada kakitangan kolej, alumni dan pihak luar untuk membuka gerai jualan makanan dan barangan ‘pre-loved’. Hasil sewaan tapak gerai turut disumbangkan kepada tabung Palestin. Kutipan derma turut diadakan kepada kakitangan dan pelajar kolej bagi menambah jumlah sumbangan. Ceramah dan pameran dari Jabatan Penjara Sungai Buloh turut diadakan sebagai salah satu aktiviti tanggungjawab sosial pihak fakulti kepada para pelajar yang terlibat.
Majlis penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa, En. Shaik Faridhudheen Anverdeen, diiringi Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akademik), En. Hafiz Ahmed Patwari serta Pengarah Program Jumbo Sales, Pn. Nordalina Mohd.