
TAWAU, 9 November 2025 – IIUM Schools Sdn Bhd (ISSB) melakar pencapaian gemilang apabila dinobatkan sebagai Champion School menerusi Anugerah Khas dalam program E2 Sabah Microsoft 2025. Program pertukaran pendidik berprestij yang berlangsung selama tiga hari bermula 7 November lalu itu telah menghimpunkan barisan pendidik inovatif dari seluruh negara.
Delegasi IIUM Schools yang terdiri daripada lapan orang peserta tersebut diketuai oleh Pengetua Sekolah Rendah Setiabudi, Puan Yantie Ruyani binti Che Mohd Nizan. Turut serta dalam rombongan tersebut ialah barisan pengetua, Ketua Sekolah (HOS), dan Ketua Jabatan (HOD) yang mewakili pelbagai unit pendidikan di bawah naungan ISSB.
Pengiktirafan Microsoft Innovative Leader (MIL)
Selain gelaran juara keseluruhan, kejayaan luar biasa turut dicatatkan apabila kesemua lapan peserta dari IIUM Schools yang menyertai E2 Sabah Microsoft 2025 telah terpilih dan dilantik secara rasmi sebagai Microsoft Innovative Leader (MIL). Pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan tinggi terhadap keupayaan mereka dalam menerajui transformasi digital dalam bilik darjah.

Kejayaan delegasi ini turut diperkukuhkan lagi melalui kemenangan dalam kategori berkumpulan bagi PoC Challenge (Grow & Glow AgriSpark). Kumpulan yang dianggotai oleh Cikgu Zaid dan Cikgu Fauziah berjaya menarik perhatian juri melalui inovasi yang menggabungkan elemen teknologi dan pertanian pintar, sekali gus membuktikan kemampuan pendidik ISSB dalam menghasilkan penyelesaian kreatif.
Pemerkasaan Pendidik Melalui Teknologi Terkini
Program E2 Sabah Microsoft 2025 ini direka secara dinamik bagi memberi peluang kepada para pendidik untuk menguji dan mengaplikasikan idea secara hands-on. Selain bengkel interaktif, program ini turut menyediakan pameran teknologi terkini serta ruang jaringan profesional yang luas bagi memperkasakan ekosistem pendidikan digital di Malaysia.
Pihak pengurusan IIUM Schools menyifatkan pencapaian ini sebagai satu dorongan kuat buat para pendidik untuk terus memacu transformasi pendidikan yang sejajar dengan keperluan zaman. Penggunaan aplikasi Microsoft bukan lagi sekadar alat bantuan mengajar, tetapi telah diintegrasikan sebagai nadi utama dalam melahirkan “Khalifah Masa Hadapan” yang celik teknologi.
Pengiktirafan di Tawau ini diharapkan menjadi inspirasi buat seluruh warga pendidik di bawah IIUM Schools untuk terus meneroka sempadan baharu dalam dunia teknologi pendidikan (EdTech) demi kelestarian kualiti akademik pelajar.