
14 April 2025 – Delegasi dari IIUM Consultancy & Innovation Sdn. Bhd. (ICI) telah mengadakan satu kunjungan hormat ke Institut Fatwa dan Halal (IFFAH), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam usaha mengukuhkan jaringan strategik dan membuka ruang eksplorasi kerjasama dalam bidang latihan dan industri halal.
Delegasi ICI diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, En. Wan Jusaini Rizal, bersama beberapa pegawai utama iaitu Puan Norhasliza Ibrahim (Perancang Program), Puan Hafizah Hasbullah (Penganalisis Kos dan Perniagaan), serta Encik Harris Hamzah (Perancang Latihan dan Inovasi). Kunjungan tersebut disambut mesra oleh Prof. Dr. Azman Ab Rahman, Pengarah IFFAH, Assoc. Prof. Dr. Norailis, Penyelaras Latihan & Perundingan, dan Encik Fazhiruddin, Penolong Pendaftar IFFAH.
Perbincangan tertumpu kepada beberapa perkara utama termasuk perkembangan semasa industri halal di Malaysia, cabaran kesedaran halal dalam masyarakat, serta potensi besar yang masih boleh diteroka dalam bidang ini. Delegasi turut diberi taklimat tentang pelbagai inisiatif dan penambahbaikan yang telah dilaksanakan di IFFAH di bawah pimpinan Prof. Dr. Azman, yang juga merupakan alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
IFFAH kini dikenali sebagai salah satu Penyedia Latihan Halal (PLH) yang berdaya saing dan kompetitif di peringkat nasional. Penjenamaan semula institut ini turut disokong dengan penyelidikan aktif serta penyampaian latihan yang komprehensif kepada pelbagai lapisan industri dan masyarakat.
Kunjungan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala antara institusi akademik dan perundingan, malah membuka potensi untuk kolaborasi lebih mendalam dalam pemerkasaan ilmu halal melalui penyelidikan, latihan dan inovasi bersama.
Kedua-dua pihak menyatakan harapan agar perbincangan ini menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih tersusun pada masa akan datang, seiring dengan matlamat memperkasa industri halal tanah air.