Bangkok, 17 Oktober 2024 – Sekalung tahniah diucapkan kepada Ariqa Binti Mohamad Syamsyul Kamar, pelajar darjah 3 Bijak dari Sekolah Rendah Setiabudi, yang telah diberikan penghormatan untuk membuat demonstrasi taekwondo pada pembukaan acara The 7th Heroes (Thailand) International Taekwondo Championship 2024. Demonstrasi hebat itu telah berlangsung di Assumption University, Suvarnabhumi Campus, Provinsi Samut Prakan, Thailand.
Ariqa yang dibantu oleh abangnya, Aariz Bin Mohamad Syamsyul Kamar (darjah 5 Cerdas), mempamerkan kebolehan luar biasa dalam seni mempertahankan diri, sekali gus mengharumkan nama sekolah. Kejohanan ini berlangsung dari 10 hingga 12 Ogos 2024 dan menghimpunkan atlet taekwondo dari seluruh dunia.
Selain membuat demonstrasi pada pembukaan, Ariqa turut meraih pingat gangsa dalam kategori Poomsae individu serta menduduki tempat ke-10 dalam kategori pasangan. Aariz juga tidak kurang hebatnya, apabila berjaya meraih tempat ke-12 daripada 44 peserta dalam kategori Poomsae individu dan turut menduduki tempat ke-10 dalam kategori pasangan bersama Ariqa.
Pencapaian ini diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada rakan-rakan mereka serta mendorong lebih ramai pelajar Sekolah Rendah Setiabudi untuk turut sama aktif dalam bidang sukan, khususnya taekwondo, demi kecemerlangan peribadi dan sekolah.