IIUM Holdings Sdn Bhd

IIUM Holdings Mantapkan Usaha Perangi Rasuah dengan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah

Lafaz Ikrar Bebas Rasuah IIUM Holdings

Gombak, 15 Oktober 2024 – Kumpulan Syarikat IIUM Holdings (IIUMH) memperkukuh komitmennya dalam memerangi rasuah melalui Lafaz Ikrar Bebas Rasuah, yang menjadi acara utama pada IIUM Holdings Group Integrity Day 2024. Acara ini berlangsung di Dewan Banquet, Aras 5, Bangunan Muhammad Abdul-Rauf, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dengan sokongan penuh daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Acara Lafaz Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Dr Suzana Idayu Wati Osman, Pengerusi IIUM Holdings Sdn Bhd, menjadi simbol ketegasan syarikat dalam memperjuangkan integriti. Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi, turut menyaksikan lafaz tersebut, menandakan komitmen bersama untuk menolak sebarang bentuk rasuah di dalam organisasi.

Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati menekankan bahawa usaha memerangi rasuah bukanlah tanggungjawab individu semata-mata, tetapi memerlukan penglibatan setiap warga IIUM Holdings. “Memerangi rasuah bukan tanggungjawab segelintir pihak, ia memerlukan usaha kolektif setiap warga IIUMH,” katanya dalam ucapan aluan.

Selain lafaz ikrar, majlis ini turut menyaksikan pelancaran saluran dan talian “Whistleblowing”, inisiatif baharu untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam kalangan warga IIUM Holdings. Langkah ini dilihat sebagai usaha yang signifikan dalam memperkukuh budaya beretika dan melawan sebarang salah laku.

Pada sesi pertama program, Ps Thilak A/L Munusamy dari Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM dalam sesi perkongsiannya menyampaikan takrifan rasuah, elemen-elemen rasuah, contoh-contoh amalan rasuah, akta-akta SPRM, dan apakah tindakan yang seharusnya dilakukan apabila berdepan dengan situasi ini. Ini diikuti dengan Sesi Dialog bersama Dato’ Ahmad Nadzarudin Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IIUM Holdings Sdn Bhd, di mana mereka berbincang mengenai cabaran dan penyelesaian dalam menegakkan integriti di tempat kerja.

Majlis turut dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Ustaz Abdul Khair Jalil, Johan Qari Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019, yang menekankan kepentingan memelihara amanah dan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Acara ini dihadiri oleh ahli-ahli lembaga pengarah IIUM Holdings, kakitangan, serta wakil-wakil daripada SPRM, menandakan satu langkah besar dalam usaha kolektif organisasi ini untuk melawan rasuah dan memupuk budaya integriti yang mampan.

Share this

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top