
Kuantan, 21 Mac 2025 – Sempena keberkatan bulan Ramadan, International Islamic School Malaysia Kuantan (IISMK) telah berjaya menganjurkan Program Iftar Jama’ie & Agihan Sadaqah bertempat di Masjid IIUM Kuantan. Majlis penuh penghayatan ini bukan sekadar acara berbuka puasa, bahkan menjadi medan menyemai nilai kasih sayang, kebersamaan dan kepedulian sosial sesama warga komuniti.
Program ini menghimpunkan pelajar, ibu bapa, warga sekolah dan para penerima manfaat daripada kalangan pelajar asnaf dan anak yatim IIUM Kuantan. Suasana berlangsung dengan penuh harmoni, disulami dengan semangat memberi yang meriah namun sederhana – mencerminkan roh sebenar Ramadan al-Mubarak.
Majlis ini turut menyaksikan penyerahan beg sumbangan Sadaqah yang disediakan hasil sumbangan para ibu bapa dan warga sekolah. Sumbangan tersebut telah diagihkan kepada pelajar-pelajar yang layak sebagai tanda sokongan moral dan kebajikan yang dititipkan melalui pendidikan berteraskan nilai Islam.
Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ibu bapa atas sokongan dan keprihatinan mereka. Sumbangan ikhlas tersebut bukan sahaja menceriakan hati penerima, malah memperkukuh semangat ukhuwwah dalam komuniti IISMK.
Dengan kejayaan penganjuran ini, IISMK berharap dapat terus menganjurkan lebih banyak program seumpama ini pada masa akan datang, demi melahirkan generasi yang seimbang antara ilmu dan akhlak.
Sumber – International Islamic School Malaysia Kuantan