
BLITAR, INDONESIA – 17 Februari 2025
Seorang pelajar Tingkatan 4 dari Sekolah Menengah Setiabudi, Danish Fikri Bin Johari, telah mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih tempat kedua dalam Actions For Earth Award & Global Youth Summit 2025 yang berlangsung di Blitar dan Malang, Indonesia, dari 14 hingga 17 Februari lalu.
Acara bertaraf antarabangsa ini dianjurkan oleh Hemispheres Foundation dan membawa tema “Waste Not”, yang memberi tumpuan kepada peranan golongan muda dalam menangani cabaran alam sekitar melalui kolaborasi dan inovasi. Danish telah dipilih untuk mewakili Malaysia dalam persidangan ini yang menghimpunkan peserta muda dari pelbagai negara, dengan membawa pembentangan bertajuk Eko Fesyen.
Di bawah bimbingan guru pengiring berpengalaman, Cikgu Nurul Hidayah Binti Abdul Kudus, Danish berjaya mengetengahkan projek inovatif berasaskan aplikasi yang dinamakan EcoSejahtera. Aplikasi ini dibangunkan melalui kerjasama antara pelajar dan sekolah, dengan matlamat mengurangkan pengumpulan sisa fabrik dan seterusnya membantu menurunkan kadar jejak karbon.
Projek ini turut menjadi sebahagian daripada usaha Sekolah Menengah Setiabudi untuk bergerak ke arah konsep Sekolah Hijau, selaras dengan objektif kelestarian dan pendidikan alam sekitar yang lebih proaktif.
Sebagai pengiktirafan atas penyertaan dan pencapaian cemerlangnya, Danish menerima sijil penghargaan, wang tunai, trofi kemenangan serta tiket penyertaan Global Youth Summit bernilai SGD800.
Seluruh warga Sekolah Menengah Setiabudi menyambut baik kejayaan ini sebagai bukti kemampuan pelajar tempatan untuk bersaing di peringkat global, serta sebagai dorongan untuk terus memperkasa inisiatif lestari di peringkat sekolah.
Penyertaan Danish bukan sahaja membanggakan, malah menjadi inspirasi buat generasi muda lain untuk terus aktif dalam usaha memelihara alam sekitar melalui teknologi dan inovasi.