Gombak, 6 Januari 2025 – International Islamic College (IIC) telah menganjurkan Program Engagement bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertempat di Dewan Datuk Muhammad Feisol, IIC. Program yang berlangsung dari jam 10 hingga 11 pagi itu bertujuan memberi kesedaran kepada pelajar serta warga kerja IIC mengenai isu-isu jenayah semasa yang semakin membimbangkan masyarakat.
Taklimat disampaikan oleh INSP. Ahmad Zikri bin Mohd Zalik, Ketua Balai Polis Jinjang, Kuala Lumpur, merangkumi pelbagai isu penting seperti penipuan kewangan (scammer money), kes ragut, kehilangan kad pengenalan, dan tatacara melaporkan salah laku anggota atau pegawai polis kepada pihak berkuasa.
Menurut penganjur, program ini diadakan bagi meningkatkan kefahaman komuniti kampus terhadap risiko jenayah yang sering berlaku dan memberi panduan kepada mereka tentang langkah pencegahan serta saluran yang betul untuk mendapatkan bantuan pihak polis.
IIC berharap program sebegini dapat memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan dan PDRM dalam usaha mendidik masyarakat tentang kepentingan keselamatan dan tanggungjawab bersama dalam menangani jenayah.