
Kuala Lumpur – IIUM Holdings Sdn Bhd melalui Jabatan Sumber Manusia Kumpulan telah menganjurkan satu bengkel pembangunan profesional bertajuk MBTI & Training Needs Analysis (TNA), melibatkan penyertaan daripada dua entiti subsidiari iaitu IIUM Consultancy dan IIUM EDUCARE.
Bengkel ini telah diadakan sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan sumber manusia secara berfasa, yang akan dilaksanakan di seluruh anak syarikat di bawah naungan IIUM Holdings. Seramai 20 pegawai telah terlibat, di mana mereka diberi pendedahan kepada penilaian Myers-Briggs Type Indicator (MBTI) bagi mengenal pasti gaya personaliti masing-masing, seterusnya membantu dalam menentukan keperluan latihan yang paling relevan dengan peranan dan potensi individu.
Menurut wakil Jabatan Sumber Manusia Kumpulan, bengkel ini merupakan satu langkah strategik dalam memastikan setiap individu dalam organisasi dapat berkembang selari dengan aspirasi syarikat.
“Apabila warga kerja memahami kekuatan dan potensi diri masing-masing, ia bukan sahaja meningkatkan kecekapan kerja, malah mewujudkan pasukan yang lebih seimbang dan produktif. Ini selaras dengan komitmen kami terhadap pelaburan berterusan dalam modal insan,” katanya.
Bengkel ini turut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara syarikat-syarikat subsidiari di bawah IIUM Holdings, selari dengan objektif sinergi dan penyelarasan strategik korporat.
IIUM Holdings terus komited dalam menyediakan peluang latihan dan pembangunan kepada semua warganya, kerana percaya bahawa pelaburan terbaik adalah pada pembangunan manusia.