
Kuantan, 26 Mac 2025 – IIUM Medical Specialist Centre (IMSC) telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran 2025 yang penuh keberkatan bertempat di fasiliti IMSC. Majlis tersebut turut diserikan dengan tazkirah khas mengenai Al-Quran yang disampaikan oleh Ustaz Kamarulzaman bin Seman, Pensyarah dari Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademik (CELPAD), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Program ini dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif IMSC, En. Yasser ‘Arafat bin Ishak, bersama-sama warga kerja IMSC serta para pesakit dari unit Rehabilitasi. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dipimpin oleh Ustaz Kamarulzaman dan En. Ameer Muttaqin, sebelum diteruskan dengan tazkirah yang menyentuh aspek tajwid serta kaedah memperbaiki dan memahirkan bacaan Al-Quran.
Majlis ini bukan sahaja mengimarahkan bulan Ramadan melalui penghayatan kitab suci Al-Quran, malah turut menjadi ruang santapan rohani buat semua yang hadir, termasuk para pesakit yang sedang menjalani rawatan.
Pihak IMSC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini, serta menegaskan komitmen mereka untuk terus menyemai nilai-nilai Islam dalam amalan seharian dan persekitaran kerja.
Sumber – IIUM Medical Specialist Centre