
Gombak, 25 September 2025 – Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat IIUM Schools telah berlangsung dengan penuh warna-warni dan semangat kebangsaan pada hari Khamis, 25 September 2025. Program tahunan ini dianjurkan oleh International Islamic School Malaysia (IIS) Primary, dengan penyertaan menyeluruh daripada semua sekolah di bawah IIUM Schools Sdn. Bhd., termasuk Sekolah Setiabudi (Rendah & Menengah) serta IISM (Primary, Secondary & A-Level).
Sambutan ini bertujuan memupuk semangat patriotisme dan kecintaan kepada tanah air dalam kalangan pelajar serta warga sekolah melalui pelbagai aktiviti kreatif dan berinformasi. Antara acara utama yang menarik perhatian ialah Pertandingan Sajak Bahasa Melayu dan English, serta Merdeka Costume Contest, di mana para pelajar tampil dengan pakaian bertemakan kemerdekaan yang penuh warna dan simbolik.
Kejayaan besar diraih oleh Sekolah Setiabudi Rendah (SBR) yang muncul Johan Pertandingan Sajak (Bahasa Melayu) dan menyapu bersih tempat Johan, Naib Johan dan Ketiga bagi Pertandingan Busana Merdeka. SBR turut dinobatkan sebagai pemenang kategori Best Dress (Staff), membuktikan semangat patriotik yang dikongsi oleh seluruh warga sekolah.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan khas bertemakan kemerdekaan oleh para pelajar, yang mencerminkan nilai-nilai perpaduan, keberanian, dan kecintaan terhadap negara. Program ini bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi juga medium pendidikan berkesan dalam membentuk generasi pelajar yang berjiwa Malaysia dan berakhlak mulia.
Tahniah diucapkan kepada semua warga IIUM Schools atas penganjuran majlis yang penuh makna dan berinspirasikan semangat kemerdekaan.