
Selangor, 27 September 2025 – Dua pasukan dari Sekolah Setiabudi telah mencipta kejayaan membanggakan dalam Pertandingan Nasyid Sekolah Swasta Negeri Selangor 2025 (STAGE 2025) yang berlangsung dengan tema “The Rhythm of Preaching, The Melody of Brotherhood.”
Pertandingan yang dianjurkan dengan kerjasama Sekolah Swasta Selangor dan Jawatankuasa Kokurikulum Sekolah Swasta Negeri Selangor ini menyaksikan penyertaan daripada tujuh sekolah rendah dan tujuh sekolah menengah seluruh negeri. Majlis turut diserikan dengan kehadiran barisan juri jemputan daripada kumpulan nasyid terkenal, AWLA, yang menilai persembahan berdasarkan mutu vokal, kreativiti, serta penghayatan mesej dakwah.
Dalam kategori sekolah menengah, Sekolah Menengah Setiabudi berjaya muncul sebagai Juara, manakala Sekolah Rendah Setiabudi (RASMI) turut membanggakan apabila meraih tempat ketiga dalam kategori sekolah rendah. Kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar Setiabudi bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga menyerlah dalam bidang seni berteraskan dakwah.
Pertandingan ini bukan sekadar pentas seni suara, tetapi juga medan untuk memupuk semangat ukhuwah dan mencintai seni Islam yang mendidik jiwa. Alhamdulillah, majlis berlangsung dengan jayanya, meraikan bakat dan semangat persaudaraan melalui seni nasyid.
Tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan peserta atas persembahan yang menginspirasi dan penuh makna.