
HULU YAM, 4 Disember 2025 — Sekolah Rendah Setiabudi (Sek Ren Setiabudi) telah mencatatkan pencapaian cemerlang dalam Program Kitar Semula 2025 anjuran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang berlangsung di GIBS Ecotourism Resort, Hulu Yam. Sekolah berjaya merangkul tiga anugerah Johan daripada keseluruhan 38 buah sekolah yang menyertai program tersebut.
Sek Ren Setiabudi dinobatkan sebagai Johan Kategori Pengumpulan Barang Kitar Semula Terbaik (Kategori Khas) dengan sijil penghargaan dan hadiah wang tunai RM1,000. Selain itu, sekolah turut memenangi Johan Kategori Kutipan Kitar Semula Terbanyak (RM3,500) serta Johan Kategori Skuad Bank Kitar Semula Terbaik (RM2,500).
Kejayaan ini adalah hasil komitmen berterusan Unit 3K dan Skuad Kitar Semula Sekolah, dibantu sokongan padu guru, ibu bapa dan para pelajar sepanjang program. Pencapaian ini menunjukkan dedikasi Sek Ren Setiabudi dalam memupuk kesedaran alam sekitar dan tanggungjawab terhadap kelestarian di kalangan murid.
Pihak sekolah merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan berharap pencapaian ini dapat terus menyemarakkan budaya lestari dan amalan bertanggungjawab terhadap alam sekitar, selaras dengan aspirasi pendidikan holistik di bawah nilai “Nurturing Future Khalifah”.