
KUALA LUMPUR, 6 Disember — Sekolah Rendah Setiabudi (Sek Ren Setiabudi) telah menganjurkan Majlis Anugerah CITRA 2025 bertempat di Dewan Gemilang Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UNIKL BMI) bagi menghargai pencapaian dan kecemerlangan pelajar dari Tahun 1 hingga Tahun 5.
Majlis yang berlangsung pada hari Sabtu itu diadakan bagi mengiktiraf kecemerlangan akademik dan kokurikulum, selain meraikan pencapaian pelajar dalam aspek sahsiah dan disiplin. Antara anugerah yang disampaikan termasuk Anugerah Akademik, Anugerah Kokurikulum, serta anugerah di bawah pengurusan Hal Ehwal Murid (HEM) seperti Pemenang Kempen Membaca (NILAM), Pelajar Mithali dan Anugerah Kehadiran Terbaik.
Selain itu, Majlis Anugerah CITRA 2025 turut memberi penghargaan kepada barisan pemimpin pelajar yang terdiri daripada Pengawas Sekolah, Pengawas Surau (PSI), Pengawas Pusat Sumber (PSS) serta Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) atas komitmen dan kepimpinan yang ditunjukkan sepanjang tahun persekolahan.
Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para guru, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta IIUM Schools atas sokongan dan kerjasama yang berterusan dalam menjayakan majlis tersebut. Sek Ren Setiabudi berharap pengiktirafan ini dapat menyuntik motivasi dan semangat kecemerlangan dalam kalangan pelajar selaras dengan aspirasi “Nurturing Future Khalifah”.