TAMAN BATU MUDA, 13 Mac 2025 – Seramai 50 pelajar kurang berkemampuan dari Kolej Islam Antarabangsa (IIC) menerima manfaat menerusi program Kasih Ramadan 3.0: Majlis Serahan Pek Pelajar yang berlangsung di kampus IIC, Taman Batu Muda, Kuala Lumpur.
Program anjuran IIUM Holdings Sdn Bhd dan KK Mart ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan yang kini memasuki tahun ketiga penganjuran. Kasih Ramadan 3.0 bertujuan meringankan beban pelajar dalam menyambut Ramadan menerusi sumbangan pek bantuan yang mengandungi barangan asas seperti roti, air minuman dan bahan runcit harian.
Majlis penyerahan tersebut diserikan dengan kehadiran wakil korporat iaitu Pengarah KK Mart, Encik Muhammad Haikal Daniel Khairal Abidi, Pengurus Hal Ehwal Korporat KK Supermart Holdings Sdn. Bhd., Puan Zahilda Mohd Zahari, serta Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan IIUM Holdings Sdn Bhd, Puan Zety Fazilah binti Baharuddin.
Turut hadir mewakili pihak kolej ialah CEO IIUM Higher Education Sdn Bhd, Encik Shaik Faridhudheen Anverdeen, Pengurus Pusat Bertauliah IIC, Puan Arlina Rohaizey Muhamad Amdan, dan Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Komunikasi Korporat IIC, Cik Roszaina Che Wahab.
Menurut penganjur, program Kasih Ramadan 3.0 adalah antara usaha berterusan menyantuni komuniti pelajar dan memupuk nilai keprihatinan dalam kalangan warga kampus.
“Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu para pelajar IIC menjalani ibadah Ramadan dengan lebih tenang dan bermakna,” ujar wakil penganjur.
Program ini diadakan secara tahunan dengan harapan agar lebih ramai pelajar daripada institusi di bawah IIUM Holdings Sdn Bhd akan terus mendapat manfaat pada masa akan datang.
Berita berkaitan: