GOMBAK, 13 Mac 2025 – Sebanyak 50 pelajar kurang berkemampuan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menerima manfaat menerusi program Kasih Ramadan 3.0: Majlis Serahan Pek Pelajar yang berlangsung di Dewan Banquet, Aras 5, Bangunan Muhammad Abdul-Rauf, UIAM.
Program anjuran IIUM Holdings Sdn Bhd dan KK Mart, dengan kerjasama IIUM Endowment Fund, merupakan salah satu usaha tahunan yang kini memasuki tahun ketiga penganjurannya. Kasih Ramadan 3.0 bertujuan untuk menyantuni para pelajar menerusi sumbangan pek bantuan yang mengandungi barangan asas seperti roti, minuman dan bahan runcit harian.
Majlis serahan ini diserikan dengan kehadiran beberapa tetamu kehormat antaranya Pengarah KK Mart, Encik Muhammad Haikal Daniel Khairal Abidi, Pengarah IIUM Endowment Fund, En. Mir Azrul Shaharudin, Pengurus Hal Ehwal Korporat KK Supermart Holdings Sdn. Bhd., Puan Zahilda Mohd Zahari, serta Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan IIUM Holdings Sdn Bhd, Puan Zety Fazilah binti Baharuddin.
Menurut wakil penganjur, inisiatif Kasih Ramadan 3.0 ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan pihak korporat dalam menyemai nilai kepedulian dalam komuniti universiti, khususnya di bulan yang penuh keberkatan ini.
“Semoga sumbangan yang diberikan ini dapat membantu mengurangkan sedikit beban para pelajar UIAM di bulan Ramadan ini,” ujar wakil penganjur.
Beberapa penerima manfaat turut menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh pihak penganjur. Program ini diharapkan dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dengan skala yang lebih besar agar lebih ramai pelajar mendapat manfaat daripadanya.
Anda mungkin berminat: