
Kepong, 26 Ogos 2025 – Sekolah Rendah Setiabudi telah menyertai program Merdeka Walk (Semarakkan Tradisi) anjuran Persatuan Pandu Puteri Malaysia Daerah Gombak yang diadakan di Taman Tasik Metropolitan, Kepong.
Program ini bertujuan menyemarakkan semangat kemerdekaan melalui pendekatan santai berunsur warisan, di samping memupuk nilai patriotisme dan kecintaan terhadap budaya tempatan dalam kalangan generasi muda.
Seramai sembilan murid mewakili Sekolah Rendah Setiabudi dengan bimbingan Cikgu Fauziah Md Nor dan Cikgu Nur Firza Shafiqa binti Khalid. Dalam program tersebut, Nur Aleesya Batrisya binti Mohd Ariff telah berjaya meraih tempat pertama dalam Pertandingan Busana Tradisi, sekali gus mengharumkan nama sekolah melalui kreativiti dan semangat cintakan negara.
Penyertaan ini bukan sahaja mencerminkan penglibatan aktif sekolah dalam kegiatan berunsur kebangsaan, malah membuktikan komitmen Sekolah Rendah Setiabudi dalam membentuk pelajar yang berilmu, berkarakter dan beridentiti nasional. Usaha ini selaras dengan aspirasi IIUM Schools untuk melahirkan Khalifah masa depan yang berjiwa patriotik dan berakhlak mulia.