
Shah Alam, 26 Oktober 2025 – Sekolah Rendah Setiabudi terus menyerlah dalam bidang kesenian apabila pasukan Kelab Kebudayaan berjaya meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Dikir Barat Terbuka 2025 anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang berlangsung di Elmina Lakeside Mall, Shah Alam.
Seramai 19 murid telah mempersembahkan persembahan dikir barat yang penuh bertenaga, berdisiplin dan tersusun di bawah bimbingan Encik Sulhie, dengan sokongan guru pengiring Cikgu Nurdaine dan Cikgu Azrai. Kehadiran Pengetua, Puan Yantie Ruyani Che Mohd Nizan, serta Penolong Kanan Kokurikulum, Puan Nursuhada, turut memberikan dorongan moral yang besar kepada pasukan untuk tampil penuh yakin di pentas pertandingan.
Kejayaan ini menjadi bukti semangat juang tinggi warga Sekolah Rendah Setiabudi dalam memartabatkan seni tradisional Melayu dan mengukuhkan kecintaan pelajar terhadap kebudayaan tempatan. Ia juga mencerminkan komitmen sekolah dalam mendidik generasi muda agar seimbang antara pencapaian akademik dan penghayatan nilai warisan bangsa.
Tahniah diucapkan kepada semua murid dan tenaga pengajar atas usaha gigih, dedikasi dan kesungguhan yang membuahkan hasil. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak penglibatan pelajar dalam aktiviti kesenian dan kebudayaan pada masa hadapan.