
Kuala Lumpur, 23 Oktober 2025 – Sekolah Rendah Setiabudi sekali lagi membuktikan keunggulan bakat dan semangat pelajarnya apabila pasukan Kelab Kebudayaan Setiabudi berjaya meraih tempat keempat dalam Pertandingan Irama Dikir 2025 anjuran Universiti Poly-Tech MARA (UPTM) yang diadakan di Dewan Komuniti Setiawangsa.
Seramai 19 murid telah mempersembahkan persembahan yang penuh bertenaga dan berwibawa di bawah bimbingan Encik Sulhie, bersama guru pengiring Cikgu Nurdaine dan Cikgu Azrai. Turut hadir memberikan sokongan moral dan semangat kepada pasukan ialah Pengetua, Puan Yantie Ruyani Che Mohd Nizan, serta Penolong Kanan Kokurikulum, Puan Nursuhada.
Kejayaan ini mencerminkan usaha gigih dan dedikasi tinggi warga sekolah dalam memelihara serta mengangkat martabat seni tradisional Melayu di kalangan generasi muda. Ia juga menjadi bukti bahawa pendidikan di Setiabudi bukan sahaja menitikberatkan aspek akademik, tetapi turut menanam kecintaan terhadap budaya dan warisan bangsa.
Tahniah diucapkan kepada seluruh pasukan Kelab Kebudayaan Setiabudi atas pencapaian membanggakan ini. Semoga semangat dan bakat seni yang ditunjukkan terus menjadi inspirasi dalam memperkaya identiti budaya serta memperkukuh jati diri pelajar.