
Kuala Lumpur, 18 Oktober 2025 – IIUM Consultancy and Innovation Sdn. Bhd. (ICI) telah mengadakan kunjungan korporat ke Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi membincangkan potensi kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam pelbagai bidang termasuk perkongsian harta intelek, khidmat perundingan, penyelidikan serta program pembangunan usahawan.
Delegasi ICI diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Wan Jusaini Rizal, bersama perunding Assoc. Prof. TPr. Dr. Zainora Asmawi dan Assoc. Prof. Dr. Syakir Amir dari Kulliyyah of Architecture and Environmental Design (KAED), International Islamic University Malaysia (IIUM). Sesi perbincangan tersebut turut disertai oleh Dato’ Mohamed Shamir bin Abdul Aziz, Pengarah Urusan AIM, bersama beberapa pegawai kanan AIM yang juga merupakan alumni UIAM.
Kunjungan ini membuka ruang kolaborasi baharu dalam memperkukuh hubungan antara institusi akademik dan industri, sekali gus menyokong agenda inovasi dan pembangunan mampan komuniti. Ia turut menzahirkan komitmen ICI dalam memperluas jaringan strategik dengan organisasi berimpak tinggi bagi memperkasa bidang keusahawanan, penyelidikan dan perundingan.
Dengan semangat kerjasama ini, kedua-dua pihak dijangka akan meneroka inisiatif bersama yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat, selaras dengan aspirasi IIUM untuk membina ekosistem ilmu dan inovasi berteraskan nilai Islam.