
SHAH ALAM, 8 Ogos 2025 – Seorang pelajar dari Sekolah Menengah Setiabudi, Gombak, telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam dua kejohanan taekwondo peringkat daerah dan kebangsaan, sekali gus mengharumkan nama sekolah di arena sukan tempatan.
Pelajar Tahun 4 Ar-Razi, Ikhwan Danish bin Mohamed Azan, berjaya meraih pingat perak apabila dinobatkan sebagai Naib Johan dalam Koryo Circuit Taekwondo Championship 2025 yang berlangsung dari 11 hingga 13 Julai di Stadium Panasonic, Shah Alam. Kejohanan ini merupakan salah satu platform utama bagi atlet muda menunjukkan bakat mereka dalam seni mempertahankan diri taekwondo.
Tidak lama selepas itu, Ikhwan terus mencatat satu lagi kejayaan apabila berjaya membawa pulang pingat gangsa dalam kejohanan MSSD – Koryo Malaysia yang berlangsung pada 3 Ogos 2025 di Dewan Serbaguna AU2, Keramat.
Kedua-dua kejohanan ini telah menyaksikan penyertaan ramai atlet muda dari pelbagai sekolah dan kelab sekitar Lembah Klang, dengan persaingan yang sengit dalam setiap peringkat.
Pencapaian Ikhwan ini merupakan hasil usaha gigih, latihan konsisten dan semangat juang yang tinggi. Lebih membanggakan, beliau mewakili Sekolah Menengah Setiabudi dalam kedua-dua kejohanan tersebut, sekaligus menjadi inspirasi kepada rakan-rakan pelajar yang lain.
Pihak sekolah menzahirkan rasa bangga dan penghargaan atas usaha dan pencapaian Ikhwan dalam bidang kokurikulum, yang jelas mencerminkan pendekatan pendidikan menyeluruh yang diterapkan di Setiabudi – tidak hanya menekankan aspek akademik, malah memberi ruang luas kepada pembangunan sahsiah, fizikal dan kepimpinan pelajar.
Kejayaan ini membuktikan bahawa potensi pelajar boleh digilap melalui bimbingan yang berterusan dan sokongan persekitaran sekolah yang positif. Semoga kejayaan Ikhwan menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar untuk menyertai aktiviti luar bilik darjah dan terus mencipta kecemerlangan dalam pelbagai bidang.
Sumber – Sekolah Menengah Setiabudi
Anda mungkin berminat