
Kuantan, 26 Ogos 2025 – IIUM Medical Specialist Centre (IMSC) dengan kerjasama Jawatankuasa Kecemasan & Kebakaran (JTKK) Pejabat HASiL Kuantan telah menganjurkan Latihan Cardio-Pulmonary Resuscitation (CPR) dan Rawatan Awal Kecemasan yang disertai seramai 52 orang peserta daripada pelbagai jabatan.
Program ini memberi pendedahan komprehensif tentang teknik menyelamat seperti CPR, pertolongan cemas, pembalutan luka, serta kaedah Abdominal Thrust untuk membantu mangsa tercekik — kemahiran penting dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan atau kebakaran di tempat kerja.
Menariknya, setiap peserta bukan sahaja menerima Sijil Penyertaan, malah turut memperoleh Lesen Penyedia CPR & Pertolongan Cemas sah selama tiga tahun, lengkap dengan kad pengiktirafan rasmi. Modul latihan ini dibangunkan berasaskan piawaian NCORT, American Heart Association (AHA) dan BOFA NIOSH, menjadikan sesi ini bukan sekadar teori tetapi pengalaman praktikal (hands-on) yang memberi keyakinan kepada peserta dalam tindakan kecemasan sebenar.
Selain sesi latihan, IMSC bersama IKOP Pharma turut membuka booth pameran yang memperkenalkan inisiatif kesihatan dan perkhidmatan terkini kedua-dua organisasi. Ia memberi peluang kepada peserta untuk mengenali dengan lebih dekat kepakaran dan usaha berterusan IMSC dalam bidang perubatan dan keselamatan pekerjaan.
Penganjuran ini membuktikan komitmen IMSC untuk terus memperkasa kesedaran keselamatan dan kesiapsiagaan di tempat kerja. Bagi IMSC, keselamatan dan kesejahteraan semua sentiasa menjadi keutamaan utama, sejajar dengan tanggungjawab sosial korporat dalam membina persekitaran kerja yang selamat dan berdaya tahan.