Gombak, 27 September 2024 – Sambutan Maulidur Rasul peringkat IIUM Schools Sdn. Bhd. (ISSB) telah diadakan dengan penuh kemeriahan di Sekolah Rendah Setiabudi. Acara yang berlangsung pada hari Jumaat ini turut dihadiri oleh Dato’ Ahmad Nadzarudin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IIUM Holdings Sdn. Bhd., serta wakil PIBG, pengurus, dan pentadbir sekolah.
Majlis ini bertujuan untuk menyemarakkan kecintaan terhadap Rasulullah S.A.W. dalam kalangan pelajar, guru, dan staf sekolah. Dengan tema yang menekankan tanggungjawab sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W. dan hamba Allah, sambutan ini berperanan besar dalam membentuk sahsiah yang seimbang dan bersepadu, selain melahirkan generasi yang mencintai sunnah baginda.
Acara dimulakan dengan perarakan Maulidur Rasul yang disertai oleh para pelajar, guru, dan staf, sambil berselawat bersama-sama. Suara lantang mengalunkan selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. menjadi tanda kecintaan yang mendalam terhadap baginda.
Selepas perarakan, para pelajar turut disajikan dengan persembahan nasyid yang menggugah hati. Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah bagi Pertandingan Perarakan Terbaik antara kelas, di mana kreativiti dan semangat kelas-kelas dalam menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah S.A.W. telah dinilai dengan penuh teliti.
Acara ini diharapkan dapat terus memupuk nilai-nilai Islami dalam kehidupan pelajar serta menjadi inspirasi untuk mereka mencontohi sunnah dan perjuangan Rasulullah S.A.W. dalam setiap aspek kehidupan mereka.