
Kuantan, 3 Julai 2025 – IIUM Medical Specialist Centre (IMSC) hari ini melancarkan inisiatif terbaharu dikenali sebagai Smile and Salam Program, bertempat di lobi utama IMSC Kuantan. Program ini dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif IMSC, En. Yasser Arafat Bin Ishak, bersempena dengan perhimpunan pagi rasmi yang turut dihadiri oleh seluruh warga kerja IMSC.
Program ini bertujuan untuk memperkukuh budaya komunikasi yang penuh kasih sayang, mesra dan berhemah dalam kalangan staf, selaras dengan komitmen IMSC terhadap kualiti penjagaan pesakit dan pengalaman pelanggan secara menyeluruh.
Smile and Salam Program adalah sebahagian daripada usaha Jabatan Perkhidmatan Pelanggan IMSC untuk meningkatkan mutu layanan, bukan sahaja kepada pesakit, tetapi juga kepada ahli keluarga dan pelawat. Inisiatif ini menekankan kepentingan memberi salam dan senyuman yang ikhlas sebagai satu bentuk penghormatan dan keprihatinan terhadap orang sekeliling.
Menurut wakil IMSC, budaya kerja yang positif bermula dengan interaksi harian yang kecil tetapi bermakna. “Senyuman yang tulus dan sapaan yang mesra mampu mengubah emosi dan memberikan ketenangan kepada sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke pusat perubatan ini,”.
Sebagai simbolik kepada pelancaran program ini, semua kakitangan IMSC menerima cermin poket mini yang comel dan bermakna. Ia berfungsi sebagai peringatan harian kepada setiap staf untuk menampilkan wajah terbaik mereka, serta mengekalkan semangat mesra ketika berinteraksi dengan pesakit dan rakan sekerja.
Majlis pelancaran turut diserikan dengan nyanyian lagu kebangsaan “Negaraku”, lagu negeri Pahang dan lagu rasmi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), “Leading the Way”. Program diteruskan dengan taklimat ringkas oleh Unit Perkhidmatan Sumber Manusia mengenai perkembangan terkini organisasi.
Inisiatif Smile and Salam ini mencerminkan aspirasi IMSC untuk menjadi pusat perubatan Islamik yang bukan sahaja cemerlang dari segi rawatan, tetapi juga dalam aspek nilai murni, empati, dan kemanusiaan.
Dengan pelancaran ini, IMSC terus mengorak langkah ke arah budaya kerja yang lebih positif dan inklusif, demi kesejahteraan seluruh komuniti yang bernaung di bawah perkhidmatan mereka.
Sumber – IIUM Medical Specialist Centre
Anda mungkin berminat:
- Program “Fit After Raya” Anjuran IMSC Galak Gaya Hidup Sihat Pasca Perayaan
- IMSC Tingkatkan Diagnostik Perubatan dengan Teknologi Versana Balance V2