
KUANTAN, 28 April 2025 – Dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat selepas sambutan Aidilfitri, IIUM Medical Specialist Centre (IMSC) telah menganjurkan program kesihatan komuniti bertajuk “Fit After Raya” yang berlangsung di Laman Budi baru-baru ini.
Program dimulakan dengan sesi Zumba penuh bertenaga yang berjaya menghidupkan suasana dan menggalakkan peserta mengeluarkan peluh setelah berhari raya. Acara diteruskan dengan sesi perkongsian ilmu kesihatan oleh Dr. Zaki Solihin bin Mohd Sazali, pakar perubatan dari IMSC, bertajuk “Jom Sihat Selepas Raya: Dari Bacaan ke Tindakan”.
Antara yang turut hadir memeriahkan program ialah wakil dari AIA Kuantan, pesakit Rehabilitasi PERKESO serta kakitangan IMSC sendiri. Program ini diadakan bagi membantu orang ramai kembali aktif, meningkatkan kesedaran kesihatan dan memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat.
“Di IMSC, kami bukan sekadar memberi rawatan perubatan, tetapi turut menekankan pencegahan penyakit dan penjagaan kesihatan menyeluruh. Program seperti ini adalah sebahagian daripada komitmen kami terhadap kesejahteraan masyarakat,” ujar wakil IMSC dalam kenyataan media.
IMSC mengalu-alukan orang ramai yang ingin mendapatkan rawatan atau khidmat nasihat kesihatan untuk menghubungi mereka melalui talian rasmi atau WhatsApp seperti yang disediakan di platform rasmi mereka.