Kuala Lumpur, 27 September 2024 – Fakulti Pengurusan Perniagaan (FBM), Kolej Islam Antarabangsa (IIC), telah berjaya menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul FBM Berselawat 2024 di Dewan Utama IIC. Program ini membawa tema ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’, bertujuan menyuburkan rasa cinta terhadap Nabi Muhammad S.A.W serta memperkuatkan syiar Islam dalam kalangan warga kampus.
Acara yang penuh bermakna ini bukan sahaja memperingati kelahiran Baginda Rasulullah S.A.W, malah turut menjadi platform penting untuk memperkukuhkan perpaduan dan silaturrahim dalam komuniti IIC. Sesi perarakan berselawat yang disertai oleh kakitangan dan pelajar menyuntik suasana rohani yang tenang dan bermakna, sekaligus memberi peluang untuk merenung kembali peranan ajaran Islam dalam kehidupan seharian.
Sebagai simbolik kepada komitmen kebajikan dan semangat kesukarelawanan, sumbangan derma sebanyak RM7,104.40 hasil daripada Program Jumbo Sales telah diserahkan kepada Muslim Volunteer Malaysia (MVM), diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi, En. Muhammad Hasbullah bin Md Najib. Inisiatif ini menunjukkan sokongan padu warga FBM dan IIC dalam membantu golongan yang memerlukan.
Sambutan Maulidur Rasul tahun ini terus memperkukuhkan usaha menjadikan nilai-nilai Islam sebagai asas kepada Malaysia Madani, selari dengan matlamat untuk membina masyarakat yang harmoni, berdaya maju, dan berpandukan prinsip keagamaan yang kukuh.