
Kuantan, 26 Mac 2025 – IIUM Medical Specialist Centre (IMSC) telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa 2025 bertempat di Dewan Serbaguna, Kulliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan. Majlis ini disertai oleh warga kerja IMSC bersama rakan sinergi mereka iaitu IKOP Pharma dan Daya Bersih.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengarah Perubatan IMSC, Assoc. Prof. Dr. Junaini bin Kasian, Ketua Pegawai Eksekutif IMSC, En. Yasser ‘Arafat bin Ishak, serta barisan konsultan dan wakil dari Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Negeri Pahang dan Unit Endowment UIAM.
Majlis ini bukan sekadar pertemuan untuk berbuka puasa, malah turut menjadi medan menyantuni tanggungjawab sosial korporat apabila IMSC mengambil peluang untuk menyerahkan zakat perniagaan kepada dua institusi penting – PKZ Negeri Pahang dan Unit Endowment UIAM. Inisiatif ini bertujuan menyokong agihan zakat kepada golongan asnaf dan memperkukuh usaha kebajikan dalam komuniti.

IMSC menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah hadir dan menjayakan majlis ini, serta menegaskan komitmen berterusan dalam menyantuni masyarakat, sejajar dengan nilai-nilai Islam dan misi sosial korporat institusi.