
Sungai Chinchin, 21 Jun 2025 – Sekolah Rendah Setiabudi sekali lagi membuktikan keunggulan mereka dalam bidang pendidikan Islam dengan pencapaian membanggakan dalam Pertandingan Kemahiran Amal Islami (KAMIL) Zon Keramat 2025 yang dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Pertandingan yang berlangsung di SRAI Sungai Chinchin pada 21 Jun 2025 itu menyaksikan para pelajar Sekolah Rendah Setiabudi menunjukkan prestasi luar biasa dalam pelbagai kategori seperti nasyid, khutbah Jumaat, syarahan bahasa Arab dan Melayu, hafazan, tilawah Al-Quran, bercerita kisah Al-Quran serta menulis khat.
Antara pencapaian hebat yang diraih termasuklah tempat johan dalam kategori nasyid lelaki, khutbah Jumaat dan syarahan bahasa Arab lelaki. Manakala beberapa kategori lain seperti syarahan BM lelaki, hafazan dan tafsiran, nasyid perempuan serta muhawarah turut meraih naib johan dan tempat ketiga serta seterusnya.
Pertandingan ini bukan sahaja menjadi medan untuk para pelajar mengasah bakat dan kemahiran agama mereka, malah ia turut membina keyakinan diri serta semangat persaingan sihat dalam kalangan generasi muda. Sekolah Rendah Setiabudi komited dalam menerapkan falsafah pendidikan holistik yang selari dengan aspirasi “Nurturing Future Khalifah”, mempersiapkan pelajar bukan hanya dari segi akademik tetapi juga akhlak dan kepimpinan.
Pihak sekolah mengucapkan tahniah kepada semua pelajar dan guru pembimbing yang telah berusaha gigih, serta mendoakan kejayaan mereka dalam pertandingan peringkat seterusnya yang akan berlangsung pada 5 Julai 2025.
Sumber – Sekolah Rendah Setiabudi