
Banting, 8 Oktober 2025 – Tiga pelajar Sekolah Rendah Setiabudi telah mengharumkan nama sekolah apabila berjaya meraih Tempat Ketiga dalam Pertandingan EcoBricks Challenge 2025, anjuran Persatuan Pencinta Alam Malaysia yang diadakan di SJK Tamil Sungai Manggis.
Kejayaan ini disumbangkan oleh Muhammad Fateh Amsyar (5 Cerdas), Almys Ariella binti Muhammad Syamsul Azwan (6 Cerdik) dan Sara Aisyah binti Wan Muhd Safuan (5 Cerdas), yang telah menunjukkan kreativiti dan keprihatinan tinggi terhadap kelestarian alam sekitar melalui inovasi bahan kitar semula.
Pertandingan ini bertujuan mendidik pelajar tentang kepentingan penjagaan alam sekitar melalui penggunaan bahan terpakai bagi menghasilkan produk berguna, di samping memupuk kesedaran terhadap tanggungjawab menjaga bumi. Penyertaan aktif pelajar Setiabudi dalam program sebegini mencerminkan nilai-nilai murni dan semangat lestari yang diterapkan dalam pendidikan mereka sejak di bangku sekolah.
Tahniah diucapkan kepada semua pelajar atas usaha, dedikasi dan semangat inovatif yang ditonjolkan. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada rakan-rakan lain untuk terus menyumbang ke arah pemeliharaan alam sekitar demi generasi masa depan.