
Gombak, 26 Mei 2025 – Sekolah Menengah Setiabudi terus mengangkat budaya kecemerlangan dalam kalangan pelajarnya menerusi majlis Penyampaian Anugerah Merit Bulan April 2025 yang diadakan di Dewan Serbaguna sekolah, pagi tadi.
Majlis ini menyaksikan dua pelajar cemerlang, Atiff Naufal Mohd Wsri dari kelas 4 Al-Ghazali dan Zahra Aqeelah Azrul Hakimi dari 1 Al-Farabi, menerima Anugerah Ikon Bestari bagi bulan April. Pengiktirafan ini diberikan kepada pelajar yang menyerlah dari segi sahsiah, kepimpinan dan penglibatan aktif dalam komuniti sekolah.
Selain itu, Batch KAZEYA telah dipilih sebagai Batch Terbaik atas semangat kerjasama dan pencapaian kolektif mereka sepanjang bulan tersebut. Unit Kepimpinan Quarter Master pula dinobatkan sebagai Unit Kepimpinan Terbaik, manakala kelas 1 Al-Farabi diumumkan sebagai Kelas Terbaik berdasarkan prestasi akademik dan disiplin secara menyeluruh.
Majlis ini merupakan antara inisiatif berterusan pihak sekolah dalam memupuk semangat bersaing secara sihat serta menanam nilai-nilai kepimpinan dalam kalangan pelajar. Ia juga selaras dengan visi Sekolah Menengah Setiabudi dalam melahirkan Future Khalifah yang berilmu, berakhlak dan mampu menyumbang secara positif kepada masyarakat.
Sebagai sebahagian daripada institusi pendidikan di bawah IIUM Holdings, Sekolah Menengah Setiabudi komited dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang seimbang dari segi intelek, emosi dan spiritual — berlandaskan falsafah “Nurturing Future Khalifah.”