
Cheras, 17 Mei 2025 — Sekolah Menengah Setiabudi sekali lagi membuktikan komitmennya terhadap pembangunan holistik pelajar menerusi penganjuran Kejohanan Olahraga Sekolah Menengah Setiabudi Kali ke-19 yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu lalu.
Kejohanan olahraga tahunan ini menyaksikan pelbagai acara seperti 100 meter, 200 meter, 400 meter, 4 x 100 meter dan 4 x 400 meter dipertandingkan dengan penuh semangat dan persaingan sihat. Acara yang turut mendapat kerjasama daripada mahasiswa Fakulti Pendidikan UiTM Puncak Alam ini berjalan lancar dan meriah, menyatukan warga sekolah serta komuniti pendidikan.
Rumah Beta muncul sebagai juara keseluruhan kejohanan, manakala Rumah Gamma, Rumah Delta dan Rumah Alpha masing-masing merangkul tempat kedua, ketiga dan keempat. Selain itu, anugerah Olahragawan Sekolah, Olahragawati Sekolah serta anugerah Harapan bagi setiap tingkatan turut diberikan sebagai penghargaan kepada pelajar yang menunjukkan prestasi cemerlang dan semangat juang tinggi.
Kejohanan ini merupakan acara tahunan penting dalam kalendar sekolah yang bertujuan memupuk semangat kesukanan, disiplin serta kerjasama dalam kalangan pelajar. Ia seiring dengan visi Sekolah Menengah Setiabudi dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga aktif dan berwibawa dalam bidang kokurikulum.
Sebagai entiti di bawah naungan IIUM Holdings, Sekolah Menengah Setiabudi sentiasa komited menyediakan persekitaran pembelajaran yang seimbang dan menyeluruh untuk melahirkan generasi Future Khalifah yang berilmu dan berakhlak mulia.