
KUALA LUMPUR – Seramai 15 orang pelajar cemerlang dari Sekolah Menengah Setiabudi di Gombak terpilih untuk mewakili delegasi Malaysia ke Pertandingan Actions for Earth Award & Global Youth Summit 2025 di Hanoi, Vietnam dari 1 hingga 5 Julai ini.
Sepanjang lima hari persidangan, para peserta dari seluruh dunia akan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap isu perubahan iklim.
Mereka akan bekerjasama rapat untuk bertukar idea, mencari penyelesaian serta mencipta inovasi baharu yang mampu menangani punca-punca pemanasan global dan pengeluaran gas rumah hijau.
Delegasi akan turut terlibat dalam sesi-sesi perbincangan kreatif dan pembentangan produk lestari yang dihasilkan secara mampan, kata satu kenyataan.
Delegasi Malaysia sekali lagi mendapat bimbingan daripada guru yang berpengalaman luas dalam bidang kelestarian alam sekitar sekolah iaitu Cikgu Nurul Hidayah Abdul Kudus.
Beliau telah memainkan peranan penting dalam memantau dan membimbing pelajar menghasilkan empat projek inovatif yang berasaskan bahan buangan dari persekitaran sekolah khususnya sisa pepejal dari kantin dan kawasan luar bilik darjah.
Bersempena tema utama “kesan ekologi” pada tahun ini, delegasi Malaysia akan membentangkan empat buah projek utama iaitu Serbuk Pencuci Eco daripada Kulit Telur; Barang Kemas Eco daripada Sisa Plastik; Patung Eco (Eco Plushies) daripada Kain Terpakai dan Haruman Eco (Eco Scent) daripada sisa dapur.
Delegasi diketuai oleh Kapten Danish Fiqri, mantan pemenang Actions for Earth, Global Youth Summit yang diadakan di Blitar, Indonesia pada Februari yang lalu.
Pasukan ini turut diiringi oleh guru pengiring, Cikgu Nurul Nabila Aini Abdullah.
Individu atau pasukan yang berjaya mempersembahkan idea dan solusi terbaik terhadap isu perubahan iklim dalam pertandingan ini bakal membawa pulang hadiah utama sebanyak SGD 10,000.
Seluruh warga Sekolah IIUM menzahirkan sokongan dan doa agar para pelajar Sekolah Menengah Setiabudi mencapai kejayaan cemerlang dalam pertandingan ini serta mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
Komitmen dan semangat mereka sebagai remaja dalam menangani isu kesan ekologi global wajar dijadikan inspirasi dan dicontohi oleh seluruh sekolah di Malaysia. – MalaysiaGazette