IIUM Holdings Sdn Bhd

Setiabudi Harumkan Nama Sekolah di World Scholar’s Championship Kuala Lumpur 2025

25 April 2025 – Seramai 32 orang pelajar dari Sekolah Menengah Setiabudi, Selangor telah mengharumkan nama sekolah apabila berjaya menunjukkan prestasi cemerlang dalam pertandingan World Scholar’s Championship 2025 bagi Peringkat Serantau Kuala Lumpur yang berlangsung pada 18 dan 19 April lalu.

Pertandingan yang dianjurkan di The British International School, Kuala Lumpur itu berlangsung selama dua hari iaitu pada hari Jumaat dan Sabtu, dan disertai oleh pelajar-pelajar dari pelbagai institusi pendidikan. Guru pengiring bagi pasukan Sekolah Menengah Setiabudi ialah Tr. Faezah dan Tr. Shazaizuarni yang memainkan peranan penting dalam memberi bimbingan serta sokongan sepanjang pertandingan berlangsung.

Antara kategori yang disertai oleh pelajar-pelajar ini termasuklah:

  • Team Debate
  • Collaborative Writing
  • Scholar’s Challenge
  • Scholar’s Bowl

Penyertaan ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan keyakinan diri, malah membina kemahiran sosial dan komunikasi yang sangat penting dalam dunia global masa kini. Apa yang lebih membanggakan, kesemua pelajar dari Sekolah Menengah Setiabudi berjaya mara ke peringkat seterusnya iaitu Global Round, yang akan diumumkan lokasi dan tarikhnya oleh pihak penganjur kelak.

Dua orang pelajar mencuri tumpuan apabila masing-masing meraih pencapaian yang membanggakan dalam kategori individu. Pelajar Tingkatan 5, Irfan Hisyamizan dari kelas 5 Al-Ghazali, membawa pulang 7 pingat emas, 1 pingat perak serta trofi bagi pencapaian keseluruhan tempat ke-8 dalam kategori Senior. Sementara itu, Aqief Wazif Sobhan Mohd Razali, pelajar Tingkatan 2 dari kelas 2 Al-Furqan, berjaya memperoleh 10 pingat emas, 2 pingat perak serta trofi bagi pencapaian keseluruhan tempat ke-4 dalam kategori Junior.

Kejayaan ini mencerminkan komitmen tinggi pelajar dan dedikasi guru dalam memperkasakan penguasaan pelbagai bidang pengetahuan serta kebolehan berfikir secara kritikal. Penyertaan aktif dalam pertandingan seperti ini turut memberi ruang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan rakan sebaya dari pelbagai negara dan budaya, sekali gus membuka minda terhadap isu-isu global semasa.

Sekolah Menengah Setiabudi berharap pencapaian ini menjadi pencetus semangat kepada pelajar-pelajar lain untuk terus menyahut cabaran dan mencipta kejayaan dalam pelbagai lapangan, sama ada di dalam mahupun luar negara.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top