
Kuantan, 23 Mei 2025 – IIUM Medical Specialist Centre (IMSC) terus memperkukuh komitmen terhadap kelestarian menerusi pelancaran program “SDG in Action: Recycle Today, Sustain Tomorrow!”, satu inisiatif dalaman yang memfokuskan kepada budaya hijau dan kesedaran alam sekitar dalam kalangan warga kerja.
Program yang berlangsung selama sembilan hari bermula 15 Mei hingga 23 Mei ini, telah dilancarkan secara rasmi pada 23 Mei di Laman Budi, IIUM Medical Specialist Centre, Kuantan, dengan kehadiran beberapa tokoh penting dalam bidang pendidikan dan pengurusan kesihatan.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Prof. Emerita Datuk Dr. Asma Binti Ismail, Pengerusi IMSC, bersama barisan pengurusan kanan iaitu Assoc. Prof. Dr. Junaini B. Kasian (Pengarah Perubatan IMSC), Prof. Ts. Dr. Muhammad Lokman Md Isa (Pengarah, Institute of Planetary Survival for Sustainable Wellbeing, IIUM), serta seluruh warga kerja IMSC.
Program ini mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik termasuk cabaran “Clean Your Workspace Challenge”, pertandingan “Most Recycled”, serta pertandingan reka bentuk logo dan poster bertemakan kelestarian. Kesemua aktiviti ini direka bentuk bagi menggalakkan penglibatan aktif staf dalam budaya kitar semula, sekali gus memperkukuh kesedaran terhadap tanggungjawab alam sekitar.
Menurut jurucakap IMSC, inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha institusi itu untuk menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), dengan memberi fokus kepada perubahan budaya kerja dalaman yang mampan dan berdampak jangka panjang.
Usaha ini juga dilihat selari dengan komitmen IMSC di bawah IIUM Holdings dalam memperkukuh tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara berterusan.