Gombak, 18 Oktober 2024 – Seramai lebih 100 pelajar semester akhir Diploma Muslim dari Kolej Islam Antarabangsa (IIC) telah menyertai modul Pengurusan Jenazah menerusi program 65th Ibadah Camp. Program ini yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (STADD), bertujuan untuk memberikan kefahaman mendalam kepada para pelajar tentang tatacara pengurusan jenazah secara Islam, yang merupakan komponen wajib dalam pengajian mereka.
Dalam modul ini, pelajar didedahkan kepada pelbagai aspek pengurusan jenazah, bermula dengan pengetahuan am sehingga ke tahap praktikal, termasuklah proses memandikan, mengkafankan, dan solat jenazah. Ustaz Mohamad Noornaim Mohamad Nasir, seorang pengajar dan Imam di Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang yang juga alumni IIC, telah dijemput sebagai penceramah. Beliau memberikan penerangan mendalam mengenai proses pengurusan jenazah serta memastikan setiap peserta memahami prosedur-prosedur penting yang harus diikuti.
Program yang berlangsung di Dewan Datuk Muhammad Feisol, IIC, dilihat sebagai satu usaha penting untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan dalam menghadapi situasi sebenar kelak. Penyertaan dalam modul ini adalah terhad kepada pelajar semester akhir sahaja, sebagai sebahagian daripada syarat wajib 65th Ibadah Camp yang telah dimasukkan dalam rangka kursus mereka.
Dengan adanya program ini, para pelajar diharap bukan sahaja memperoleh pengetahuan teoritikal tetapi juga pengalaman praktikal dalam menguruskan jenazah menurut ajaran Islam. Program ini juga menjadi platform untuk pelajar mempraktikkan ibadah secara lebih mendalam, di samping membentuk rasa tanggungjawab sosial dan agama yang lebih kukuh.