
GOMBAK – Sekolah Menengah Setiabudi terus membuktikan komitmennya dalam melahirkan pelajar seimbang dunia dan akhirat apabila dua pelajarnya berjaya menghafaz Juzuk 29 Al-Quran dalam Program Hafazan Al-Furqan yang dilaksanakan di sekolah berkenaan.
Pelajar yang diraikan ialah Muhammad Saifullah bin Muhammad Javed Butt dari kelas 2 Al-Farabi dan Ammar Hadi bin Shahidul Izzani dari kelas 2 Al-Ghazali, masing-masing telah berjaya menamatkan hafazan satu juzuk dengan penuh dedikasi.
Pengurusan sekolah menyifatkan pencapaian ini sebagai satu simbol kejayaan pendekatan holistik yang diterapkan di Setiabudi, di mana pembangunan sahsiah, akhlak dan cinta kepada Al-Quran diberi keutamaan selain pencapaian akademik.

“Program seperti Hafazan Al-Furqan bukan sekadar menggalakkan penguasaan Al-Quran, tetapi juga menanam nilai istiqamah dan menjadi inspirasi buat rakan-rakan pelajar yang lain. Ini adalah antara usaha kami dalam membina generasi khalifah masa depan yang berilmu dan beriman,” menurut kenyataan rasmi pihak sekolah.
Sekolah Menengah Setiabudi, yang bernaung di bawah IIUM Schools, dikenali dengan pendekatan pendidikan Islamik moden yang menyatukan akademik, spiritual dan pembangunan peribadi dalam suasana pembelajaran yang kondusif.