
Gombak, 2025 – Sekolah Rendah Setiabudi sekali lagi melakar kejayaan apabila diiktiraf sebagai Microsoft Showcase School (MSS) bagi tahun akademik 2025–2026. Pengiktirafan berprestij ini diberikan kepada sekolah yang menunjukkan kecemerlangan dalam penerapan transformasi digital, inovasi pedagogi dan kepimpinan pendidikan abad ke-21.
Sekolah Rendah Setiabudi kini merupakan salah satu daripada 62 sekolah di Malaysia yang menerima pengiktirafan ini daripada Microsoft Education, menjadikannya sebahagian daripada rangkaian global institusi pendidikan yang memanfaatkan teknologi bagi memperkayakan proses pengajaran dan pembelajaran.
Sebagai sekolah MSS, Sekolah Rendah Setiabudi komited untuk memperkasakan tenaga pengajar dengan kemahiran pedagogi digital, memperkukuh kepimpinan pendidikan dan mencipta pengalaman pembelajaran yang lebih peribadi, interaktif dan bermakna. Inisiatif ini bukan sahaja mempertingkatkan kecekapan guru, tetapi juga membentuk pelajar yang berfikiran kritikal, kreatif, mahir digital dan berdaya tahan selaras dengan aspirasi untuk melahirkan Khalifah masa depan.
Pengiktirafan ini menjadi bukti kepada usaha berterusan sekolah dalam mendepani cabaran dunia pendidikan moden melalui integrasi teknologi dan nilai Islam dalam pembelajaran.