
Kuantan, 4 Oktober 2025 – International Islamic School Malaysia (Kuantan) telah menganjurkan Mathematics Workshop 2025: Empowering Math Instructions – Strategies, Tools and Activities to Boost Students’ Success, satu program pembangunan profesional yang bertujuan memperkasakan kemahiran pedagogi guru dalam pengajaran Matematik.
Bengkel yang berlangsung selama sehari ini memberikan pendedahan mendalam kepada para pendidik mengenai strategi pengajaran inovatif, pendekatan interaktif serta penggunaan alat bantu pengajaran moden bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran di dalam bilik darjah. Sesi latihan turut menekankan kepentingan aktiviti berasaskan amali dan pengalaman bagi memastikan pelajar lebih terlibat dan memahami konsep Matematik dengan lebih mendalam.
Program ini telah dikendalikan oleh penceramah jemputan dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), iaitu Dr. Amirul Aizad, Dr. Nor Azuana, dan Dr. Nur Haizum, yang telah berkongsi pandangan dan pengalaman berharga dalam bidang pendidikan Matematik. Sesi-sesi yang dijalankan bukan sahaja memberi inspirasi, tetapi turut membuka ruang kepada para peserta untuk berinteraksi, bertukar idea dan memperkukuh kemahiran pedagogi mereka.
Pihak sekolah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua peserta atas penglibatan aktif dan semangat luar biasa sepanjang bengkel ini. Penyertaan yang penuh komitmen daripada para guru telah menjadikan program ini lebih bermakna dan berjaya mencapai objektifnya.
Mathematics Workshop 2025 menjadi bukti kepada komitmen berterusan IISM Kuantan dalam memperkasa tenaga pengajar agar terus berkembang, berkongsi ilmu, dan memberi inspirasi kepada generasi pelajar yang akan datang.