
GOMBAK, 3 Julai 2025 – Seramai 21 murid dari Sekolah Rendah Setiabudi, sebuah institusi pendidikan di bawah pengurusan IIUM Schools Sdn. Bhd. (anak syarikat milik penuh IIUM Holdings Sdn. Bhd.), telah menyertai Kejohanan Olahraga MSSD Gombak 2025 yang berlangsung pada 30 Jun hingga 3 Julai lalu bertempat di Stadium MPS, Selayang.
Kejohanan anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Gombak ini menghimpunkan penyertaan dari pelbagai sekolah rendah sekitar daerah Gombak, dengan pelbagai acara merangkumi acara pecut, jarak sederhana, dan acara padang.
Bagi Sekolah Rendah Setiabudi, penyertaan ini bukan sekadar untuk bersaing, tetapi juga sebagai platform pendedahan awal untuk murid membina keyakinan diri, semangat kesukanan dan keberanian mencabar potensi diri – seiring dengan visi sekolah untuk melahirkan “Future Khalifah” yang seimbang dari segi ilmu, sahsiah, dan kepimpinan.
Antara acara yang disertai oleh murid-murid Tahun 5 dan 6 termasuklah 100m, 200m, 1200m, lompat tinggi serta acara berkumpulan 4x100m dan 4x200m. Di bawah bimbingan guru-guru komited seperti Tr. Shahadah, Ustaz Saiful Amri dan Tr. Hanina, para peserta telah menjalani latihan dan persediaan rapi menjelang kejohanan.
Antara pencapaian yang membanggakan ialah Isa bin Sofwan Hakeem dari Tahun 5 Cerdik, yang berjaya meraih pingat perak bagi acara 100m dan pingat gangsa bagi acara 200m dalam kategori Lelaki Bawah 11 Tahun (L5).
Menurut pihak sekolah, penyertaan seperti ini merupakan sebahagian daripada pendekatan holistik dalam pendidikan, di mana pembangunan sahsiah, keyakinan dan semangat berpasukan dipupuk melalui aktiviti luar bilik darjah.
Melalui gambar-gambar rasmi yang dikongsikan oleh pihak sekolah, jelas terpancar kegembiraan dan rasa bangga dalam kalangan murid serta warga pendidik yang bersama menyokong usaha ini. Sekolah turut merakamkan penghargaan kepada semua ibu bapa yang memberi sokongan moral kepada anak-anak mereka sepanjang tempoh kejohanan.
Pihak sekolah berharap penyertaan sebegini akan terus memberikan motivasi kepada murid untuk menyertai lebih banyak pertandingan dan program pembangunan diri yang mampu memperkasa potensi mereka ke tahap lebih tinggi.
Sumber – Sekolah Rendah Setiabudi
Anda mungkin berminat:
- Kejohanan Memanah Daerah Gombak 2025: Setiabudi Cemerlang
- Pelajar Sekolah Menengah Setiabudi Raih Naib Johan Peringkat Kebangsaan Dalam Kejohanan Taekwondo
- Pelajar Sekolah Menengah Setiabudi Tawan Gunung Kinabalu
- Microsoft Certified Educator Sekolah Rendah Setiabudi: 71 Guru Lulus Pensijilan Microsoft