
GOMBAK, 27 Mei 2025 – Sekolah Menengah Setiabudi dengan bangganya mengumumkan kejayaan pelajarnya, Muhammad Atiff Naufal bin Dato Mohd Asri dari Tingkatan 4 Al-Ghazali, yang telah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu pada 25 Mei 2025.
Pencapaian luar biasa ini bukan sahaja menunjukkan keberanian dan ketahanan fizikal Atiff, malah melambangkan nilai disiplin dan semangat juang yang dijunjung tinggi oleh sekolah tersebut. Pendakian ini mencerminkan semangat seorang ‘Future Khalifah’ — pelajar yang berkarakter seimbang antara ilmu (knowledgeable), kemanusiaan (humanistic), amanah, kepimpinan, inovatif, bersedia menghadapi masa depan, beradab serta holistik.
Sekolah Menengah Setiabudi, yang berlokasi di Gombak, merupakan institusi pendidikan yang komited dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga memiliki jati diri dan kepimpinan yang tinggi. Visi mereka terhadap ‘Future Khalifah’ menjadi tunjang utama dalam mendidik generasi muda yang mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat dan negara.
Kejayaan Atiff di Gunung Kinabalu dijadikan inspirasi kepada semua pelajar untuk berani bermimpi besar dan berusaha mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.