
HANOI – Sekumpulan pelajar cemerlang dari Sekolah Menengah Setiabudi dari Malaysia telah mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Actions for Earth, Global Youth Summit 2025 yang berlangsung di Hanoi, Vietnam semalam.
Pertandingan antarabangsa anjuran Hemisphere Foundation itu menumpukan kepada isu perubahan iklim dan pengurangan jejak karbon dalam kalangan generasi muda serta menggalakkan inovasi lestari berasaskan komuniti sekolah, menurut satu kenyataan.
Pasukan pelajar yang terdiri daripada Danish Fiqri Johari, Nurbalqis Sufiya Binti Khairul Zaire dan Nur Safiyyah Mardhiah Binti Mohd Shafri, kesemuanya berusia 16 tahun itu berjaya menewaskan negara-negara pesaing melalui projek inovatif mereka bertajuk Eco Cleaning Powder from Eggshells.
Projek dibimbing oleh guru Sains berpengalaman, Cikgu Nurul Hidayah Abdul Kudus yang juga merupakan tenaga penggerak dalam bidang reka cipta teknologi hijau berasaskan bahan buangan di sekolah.
Inisiatif kreatif itu menggunakan kulit telur yang dikitar semula sebagai bahan utama untuk menghasilkan serbuk pencuci mesra alam.
Selain membantu mengurangkan sisa buangan dapur, produk itu juga menawarkan alternatif lestari kepada pencuci kimia yang lazim digunakan.
Kejayaan mereka bukan sahaja membawa pulang trofi kejuaraan tetapi juga hadiah berjumlah SGD 2700 sekali gus membuktikan bahawa remaja Malaysia mampu bersaing dan cemerlang di pentas antarabangsa.
Pasukan berkenaan berhasrat untuk memperluaskan aplikasi produk mereka di seluruh kawasan sekolah dan seterusnya dipasarkan kepada komuniti setempat.
Mereka turut bercadang untuk memberi latihan dan bimbingan kepada pelajar-pelajar sekolah lain yang berminat untuk menghasilkan produk lestari berasaskan bahan buangan.
Pasukan remaja itu berharap agar kejayaan mereka menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar untuk meneroka bidang inovasi hijau dan membantu menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
Kejayaan menjadi bukti dengan bimbingan yang betul dan semangat inovasi, pelajar sekolah menengah juga mampu menghasilkan impak besar kepada masyarakat dan alam sekitar.
Sekolah Menengah Setiabudi kini mencatat sejarah tersendiri dan kejayaan diharap akan menjadi inspirasi kepada sekolah-sekolah lain di seluruh negara untuk melahirkan lebih ramai pencetus perubahan yang bertanggungjawab dan inovatif. – MalaysiaGazette