
Gombak, 22 Julai 2025 – IKOP Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh IIUM Holdings Sdn. Bhd., telah melakar sejarah baharu dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Radiant Pharmaceuticals Limited dari Dhaka, Bangladesh. Majlis bersejarah ini berlangsung di Banquet Hall, Aras 5, Bangunan Muhammad Abdul Rauf (MAR), Kampus IIUM Gombak, dengan kehadiran kira-kira 80 orang tetamu jemputan yang terdiri daripada ahli akademik, delegasi industri, dan tetamu kehormat.
MoU tersebut dimeterai oleh Dato’ Ahmad Nadzarudin Abdul Razak, Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IIUM Holdings, dan Mr. Md Abu Shahriar Zahedee, Pengarah Urusan Radiant Business Consortium Limited dan Pengarah Eksekutif Radiant Pharmaceuticals Limited. Sesi tersebut turut disaksikan oleh En. Yasser ‘Arafat Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif IKOP Pharma, serta Mr. Md. Murshed Alam, wakil Pesuruhjaya Tinggi Republik Bangladesh ke Malaysia.
Kerjasama strategik ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dalam industri farmaseutikal antara Malaysia dan Bangladesh. Ruang lingkup perjanjian ini merangkumi eksport produk, pengeluaran tempatan, pengedaran farmaseutikal, dan perancangan penubuhan pusat bio-ketersediaan (bioequivalence center) di masa akan datang. Ia dijangka menyumbang secara signifikan kepada peningkatan daya saing IKOP serta memperkasa peranan IIUM dalam penyelidikan dan inovasi.
Majlis turut diserikan dengan ucapan daripada barisan pemimpin utama termasuk En. Yasser ‘Arafat Ishak; Dato’ Ahmad Nadzarudin Abdul Razak; Mr. Md Abu Shahriar Zahedee; dan Mr. Md. Murshed Alam. Kehadiran Prof. Dato’ Dr. Ahmad Faris bin Ismail, Timbalan Rektor (Akademik & Pengantarabangsaan) IIUM, turut menyerikan majlis.
Pelancaran Produk Baharu: AquaBoost

Sejurus selepas sesi tandatangan MoU, IKOP Pharma turut melancarkan AquaBoost, produk krim pelembap baharu yang diformulasikan khas dengan gliserin bagi membantu melembapkan dan melindungi kulit. AquaBoost sesuai digunakan bagi merawat kulit kering, gatal-gatal, alahan, dan ekzema, menjadikannya pilihan ideal untuk pengguna yang mementingkan penjagaan kulit yang lembut dan berkesan.
Pelancaran produk ini mencerminkan komitmen IKOP dalam menawarkan penyelesaian kesihatan berasaskan formulasi halal, selamat dan berkesan untuk masyarakat.
IKOP Pharma merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis ini. Video sorotan majlis kini boleh ditonton sebagai tanda permulaan kepada kerjasama dan inovasi yang bermakna.
Anda mungkin berminat:
- IKOP Pharma Forms Strategic Partnership with APTFMA and Alpro Pharmacy Group
- Produk IKOP Masuki Pasaran KPJ Healthshoppe