
Kuala Lumpur, 17 Julai 2025 – Kolej Islam Antarabangsa (International Islamic College – IIC) hari ini menerima kunjungan hormat delegasi tertinggi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (International Islamic University Malaysia – IIUM) dalam usaha memperkukuh kerjasama akademik IIUM dan IIC di peringkat lebih menyeluruh.
Delegasi IIUM diketuai oleh Timbalan Rektor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Prof. Dato’ Dr. Ahmad Faris bin Ismail, dan disambut mesra oleh Ketua Pegawai Eksekutif IIUM Higher Education Sdn Bhd, Shaik Faridhudheen Anverdeen bersama pengurusan tertinggi IIC.
Lawatan dimulakan dengan sesi perbincangan strategik melibatkan barisan kepimpinan kanan dan dekan fakulti daripada kedua-dua institusi. Antara tumpuan utama perbincangan ialah pelaksanaan program Accreditation of Prior Experiential Learning for Credit (APEL.C), penggunaan metodologi Micro Credential dan pendekatan Open and Distance Learning (ODL) yang berjaya diterajui oleh IIC.
Prof. Dato’ Dr. Ahmad Faris turut berkongsi visi Rektor IIUM yang berteraskan Tauhidiq Epistemology dan pencapaian Ummatic Excellence, sekali gus mengukuhkan dasar kerjasama akademik IIUM dan IIC yang selari dalam falsafah pendidikan Islam.
Perbincangan juga menyentuh potensi pemindahan kredit maksimum dari program IIC ke program ijazah IIUM, khususnya di AbdulHamid A. AbuSulayman Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences (AHAS IRKHS) dan Kulliyyah of Education (KOED). Akses kepada kemudahan perpustakaan dan kemudahan sukan IIUM turut dibincangkan bagi manfaat pelajar IIC.
Kerjasama IIUM dan IIC ini turut membuka laluan kemajuan pelajar dengan lebih tersusun, memberi ruang kepada graduan IIC menyambung pengajian di IIUM dengan lebih mudah dan sistematik.
Delegasi kemudiannya dibawa melawat kampus IIC dan Pusat Pendidikan Jarak Jauh dan Pembelajaran Sepanjang Hayat (Centre of Distance Education and Lifelong Learning – CODELL). Lawatan diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan makan tengah hari yang merapatkan lagi hubungan kedua-dua institusi secara tidak formal.
Lawatan rasmi ini menandakan permulaan fasa baharu dalam kerjasama akademik IIUM dan IIC, khususnya dari aspek pembangunan program bersama, perkongsian sumber dan pemantapan nilai-nilai Islam dalam pendidikan tinggi.
Sumber – Kolej Islam Antarabangsa – IIC
Anda mungkin berminat:
- Kerjasama IIC-GITC Perkasa Kemahiran TVET Lebih 300 Pelajar
- Kerjasama Kukuh IIC dan IIUM Academy Tingkatkan Peluang Pendidikan
- IIC Jalani Penilaian Akreditasi Penuh MQA bagi Diploma Pengurusan Industri Halal
- IIC Perkukuh Jalinan Strategik Bersama IIUM dalam Bidang Kejururawatan, Sains dan TVET