
KUALA LUMPUR, 3 Disember 2025 — Sekolah Menengah Setiabudi telah menganjurkan Program Kiasan Cinta al-Quran 2025 di Musolla As-Salam bagi mendekatkan pelajar dengan al-Quran melalui aktiviti interaktif dan pengisian ilmu.
Program dianjurkan oleh Unit Al-Furqan dimulakan dengan aktiviti ‘battle’ Surah al-Waqi’ah secara berkumpulan. Setiap pelajar dikehendaki menghafaz maksimum tiga ayat secara bergilir, dengan kumpulan yang berjaya membaca jumlah ayat paling banyak secara tartil dinobatkan sebagai pemenang. Aktiviti diteruskan dengan sesi tebuk surah, di mana pelajar menyambung lima ayat untuk menyumbang mata kepada kumpulan masing-masing.
Selepas waktu rehat, sesi ceramah bertajuk Kiasan Cinta al-Quran disampaikan oleh Ustaz Mohd Fairuz bin Mohd Rodhi. Pelajar didedahkan dengan hikmah membaca al-Quran, teknik hafazan yang efektif, serta perkongsian pengalaman penceramah yang menarik perhatian para peserta. Sesi kuiz berdasarkan ceramah turut diadakan, dengan pelajar yang menjawab tepat menyumbang mata kepada kumpulan.
Program diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada enam kumpulan terbaik oleh Pengetua sekolah. Program ini berjaya mencapai objektif utamanya untuk meningkatkan minat pelajar dalam membaca, menghafaz, dan mendalami al-Quran, sambil menekankan nilai disiplin, kerjasama, dan komitmen.
Sek Menengah Setiabudi berharap penganjuran program sebegini dapat terus memupuk generasi pelajar yang cintakan al-Quran dan selari dengan aspirasi pendidikan sekolah di bawah nilai “Nurturing Future Khalifah”.