
KUALA LUMPUR, 4 Disember — Sekolah Rendah Setiabudi (Sek Ren Setiabudi) telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke Wau Animation bagi pelajar Tahun 4 sebagai sebahagian daripada aktiviti pembelajaran luar bilik darjah. Lawatan ini melibatkan seramai 60 orang pelajar dengan iringan empat orang guru pengiring.
Wau Animation merupakan sebuah studio animasi tempatan yang terkenal dengan penghasilan siri animasi popular Malaysia, Ejen Ali. Sepanjang lawatan, para pelajar diberi pendedahan kepada proses penghasilan animasi, termasuk penggunaan perisian animasi seperti Toon Boom Animation, selain penerangan mengenai konsep jalan cerita, reka bentuk watak, animasi, pencahayaan dan muzik.
Melalui sesi taklimat dan interaksi bersama pasukan Wau Animation, pelajar berpeluang memahami secara asas bagaimana sesebuah animasi dihasilkan secara profesional serta kerjaya yang terlibat dalam industri kreatif dan digital.
Pihak sekolah berharap program lawatan pendidikan seperti ini dapat memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna, memperluaskan pengetahuan murid serta menyemai minat terhadap bidang kreatif dan teknologi, selaras dengan aspirasi pendidikan holistik di bawah nilai “Nurturing Future Khalifah”.