
KUALA LUMPUR, 1 Disember — Sekolah Rendah Setiabudi (Sek Ren Setiabudi) telah menganjurkan Sambutan Hari Kanak-Kanak 2025 bertemakan “Kampung Boy” di sekitar kawasan sekolah bagi meraikan kegembiraan dan perkembangan holistik murid.
Sambutan yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang itu menyaksikan semua murid hadir mengenakan pakaian berkonsepkan suasana kampung, sekali gus mewujudkan suasana ceria dan berwarna-warni sepanjang program. Pelbagai aktiviti berteraskan budaya dan warisan telah disediakan, termasuk sukan serta permainan tradisional, aktiviti kraf tangan warisan dan pengisian santai yang melibatkan penyertaan aktif murid.
Selain itu, acara potluck yang menampilkan hidangan tradisional turut memeriahkan sambutan dan menggalakkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga sekolah. Program ini bukan sahaja memberi ruang kepada murid untuk berhibur, malah berfungsi sebagai medium pembelajaran tidak formal dalam memperkenalkan nilai budaya dan kehidupan masyarakat kampung.
Pihak sekolah berharap penganjuran sambutan seumpama ini dapat memupuk rasa cinta terhadap warisan bangsa serta menyumbang kepada pembentukan sahsiah murid secara menyeluruh, selaras dengan aspirasi pendidikan Sek Ren Setiabudi di bawah nilai “Nurturing Future Khalifah”.